Sunday 22 May 2011

Pemerkasaan Belia dan Minat, Aspirasi serta Sokongan Belia (Sempena Himpunan Sejuta Belia, Putrajaya)

BELIA TUNJANG NEGARA 

Mengikut Akta Pertubuhan Belia, had umur belia ialah 15-40 tahun.  Di dalam konteks untuk menarik perhatian belia di dalam politik negara, suara belia seharusnya tidak dipinggirkan.  Sebenarnya suara belia ini adalah sebahagian daripada input untuk membuat dasar negara.  Mereka perlu diberi peluang dan ruang bersuara melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Belia Daerah, Negeri dan juga di pelbagai medium-medium yang lain.

Namun, pola perlakuan belia  banyak dipengaruhi oleh kedudukan status sosioekonomi dan pergolakan politik semasa di dalam negara. . Universiti juga dilihat sebagai institusi yang ramai menempatkan belia atau pengundi muda dan sokongan mereka terhadap kerajaan amat penting dalam mencorakkan pola politik negara. Di Indonesia umpamanya gerakan pelajar sebagai golongan pendesak terbesar telah memainkan peranan menjatuhkan kerajaan Presiden Suharto.  Gerakan politik pelajar mampu memberi impak yang besar apabila melibatkan isu masyarakat, polisi dan kepimpinan. 
        
Peluang ini merupakan satu percubaan yang baik kerana kerajaan kita telah membuka ruang untuk golongan belia bersuara dan pendapat mereka diberi perhatian yang sewajarnya. Kumpulan belia adalah sumber maklumat utama kerajaan yang perlu diberi perhatian.
           
Sebenarnya, kerajaan banyak mencipta dasar, projek atau program untuk membantu golongan belia, namun ianya terbatas.  Kerajaan sepatutnya memberi golongan belia ini sedikit ruang supaya idea dan maklumbalas belia dapat dikongsi bersama. Berikan belia ini landasan yang betul dan pastikan juga apabila kerajaan mahu membetulkan dasar, suara belia ini diambil kira dalam dasar tersebut.
Apabila kerajaan membina dasar, kesan pelaksanaannya tertumpu pada golongan muda pada masa akan datang, dan bukan kepada mereka yang ada pada masa sekarang. Jika kerajaan mengharapkan pengiktirafan dari golongan belia, mereka sepatutnya mendengar suara hati mereka. Dasar yang digubal itu adalah dasar yang akan ditempuh oleh golongan muda dalam masa 20 tahun yang akan datang. Mereka (penggubal dasar) pula mungkin masih hidup dan mungkin tidak. Oleh itu mereka sepatutnya memberi perhatian dan mendengar suara dan idea golongan belia kerana suara inilah sebenarnya yang boleh diguna pakai dalam program mereka. Kerajaan seharusnya melakukan transformasi ini.  Kerajaan juga perlu memperincikan bagaimana mereka hendak melaksanakan idea yang didapati daripada golongan belia ini. Dan mereka perlu mengaku yang idea ini adalah daripada golongan belia. Jika suara golongan belia ini digunapakai, inilah yang dipanggil kekuatan suara golongan belia. Idea yang disalurkan akhirnya diiktiraf dan dijadikan realiti. Hilanglah sikap mengeneralisasi golongan belia sebagai hilang moral dan seumpamanya.
      
Selain daripada itu, kita selalu beranggapan bahawa golongan belia menggunakan teknologi alternatif untuk menyebarkan maklumat. Sebenarnya, media perdana sepatutnya berusaha dengan lebih kuat untuk mendampingi golongan belia. Golongan belia kekurangan platform di media perdana. Terjadi sebuah kes, apabila sekumpulan belia mendekati media perdana, tidak ada sebuah media pun yang mengendahkan mereka. Kalau ini berlaku, bagaimana hasil aktiviti mereka dapat sampai ke pengetahuan orang awam?Satu lagi masalah ialah bagaimana media selalu menyiarkan sisi negatif para remaja. Media perlu mengambil langkah pertama untuk berubah. Apabila media ada pemikiran sebegitu, dan apabila mereka terfikir jalan yang baru, mereka akan membuka diri pada pelbagai idea dan tanggungjawab. Media boleh menyebarkan pelbagai pengetahuan berkenaan pelbagai individu dan komuniti serata dunia untuk membantu kita. Media perlu mengambil peranan utama untuk merakyatkan pelbagai tokoh remaja yang dapat membimbing remaja lain untuk berjaya seperti mereka.
      
Usaha dan masa depan bagi belia terbahagi kebeberapa aspek dan elemen yang penting.  Ada beberapa aspek yang boleh dinyatakan di sini. Aspek pertama ialah pendedahan. Maksudnya ialah pemberian latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam kerja aktivis. Mereka sebenarnya mempunyai semangat untuk melakukannya, cuma mereka tidak tahu caranya. Kita boleh mengadakan bengkel kerja untuk mengatur sesuatu, membuat aktiviti, mengurus projek, mempelajari cara berkomunikasi dan menggunakan teknologi baru bagi membantu proses kerja. Mereka juga perlu didedahkan dengan cerita kejayaan rakan-rakan terdahulu. Kemahiran inilah yang patut mereka belajar terlebih dahulu.  Aspek kedua, golongan belia juga ada idea tetapi tidak tahu melaksanakannya. Ada pula yang boleh melaksanakan aktiviti tetapi tidak ada idea. Dua kumpulan ini perlulah dibawa bersama untuk berbincang. Satu projek boleh dikongsi antara dua kumpulan ini agar aktiviti kerja boleh bergerak dengan lancar dan sempurna.  Aspek ketiga, pengiktirafan. Banyak projek yang telah dilakukan oleh golongan belia dan projek ini perlu diiktiraf supaya masyarakat dapat melihat wujudnya perubahan. Sementelahan, golongan belia ini akan berasa diri mereka lebih dihargai dan segala usaha mereka berjaya akhirnya. Pihak media perlu menyokong mereka dengan menyebarkan berita usaha dan kejayaan mereka kepada masyarakat. Sudah tentu hal ini akan meningkatkan lagi motivasi para belia untuk berusaha dalam bidang ini.  

                                 
                                                       " SELAMAT MAJU JAYA BELIA" 



 
Sumber: Michael Teoh (One Young World), Jurnal Malaysian Journal of Youth Studies Jun 2009: Volume 1.

Diolah oleh: Muhammad Nabil Saleh 

No comments:

Post a Comment